Monday, November 7, 2011

Ibadah Korban: Perkongsian Ilmu

Larangan bagi daging korban pada bukan Muslim

SAYA tertarik dengan perbincangan ustaz berkenaan korban dan akikah minggu lalu. Bagaimanapun, saya masih ada beberapa persoalan dan memohon penjelasan ustaz.

1. Berkenaan daging korban, jika selepas diagih kepada fakir miskin dan juga para petugas masih ada bakinya, bolehkah ia diberi kepada orang bukan Islam?

2. Jika seorang fakir miskin itu menerima daging korban yang dikumpulkan agak banyak, contoh 4 @ 5 kilogram, bolehkah dia menjual sebahagian daripada daging itu termasuk kepada orang bukan Islam?

3. Bagaimana pula dengan kulit lembu korban, bolehkah ia dijual kepada pengusaha makanan atau pembuat kompang?

JAWAPAN:

Kebanyakan kita faham secara asas bahawa daging korban tidak boleh diberi kepada orang bukan Islam.
Pendirian ini memang berasas, asasnya para alim ulama kita berpandangan dengan pendapat Imam al-Syafie yang tidak membenarkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat mahupun daging korban nazar.

Ini kerana ibadah korban adalah perbuatan taqarrub kepada Allah SWT yang dikategorikan ibadah semata-mata, ibadah ini berkaitan dengan menyembelih binatang ternakan. Orang Islam sahaja yang berhak kepada daging korban tersebut. Serta manfaat daging itu hanya kebali kepada orang Islam sahaja.
Pandangan ini adalah berdasarkan kepada pembahagian daging mentah bukan daging yang sudah dimasak.
Sekiranya kita ingin menjemput jiran atau kenalan kita yang bukan beragama Islam dengan menjamu mereka daging korban, bagi mereka yang bermazhab al-Syafie hendaklah menambahkan daging lain yang dibeli dari pasar sejumlah yang yang mungkin boleh cukup untuk hidangan orang bukan beragama Islam lalu dicampurkan daging yang dibeli di pasar dengan daging korban kemudian dimasak bersama.
Anggaplah apa yang dimakan oleh tetamu kita yang bukan beragama Islam dari daging yang dibeli dari pasar dan bukan daging korban.

Namun persoalan ini pernah saya bincangkan sebelum ini. Demi berlaku adil kepada para Ulama mazhab selain Imam al-Syafie eloklah kita sama-sama perhatikan pandangan mereka dalam masalah ini;
Ulama Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara.
Mazhab Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka. (Kasyf al-Qina' 3;19 )
Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu' disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.
Di dalam kitab al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama telah sepakat (ijmak) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. (al-Majmu' Syarh al-Muhazzab; 8, 404 ).

Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya..
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy dan al-Syarbainiy berpendapat, mazhab Maliki menghukumnya dengan makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani.
Memelihara nyawa
Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah.

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib. (al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381).
Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.
Kesimpulan yang boleh dibuat:
lMazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.
lMazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
lMazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Namun sekiranya keadaan masyarakat yang bukan beragama Islam sangat memerlukan, dalam erti kata kalau tidak dibantu keadaan mereka akan bertambah buruk dan dengan membiarkan mereka dalam keadaan melarat boleh mendatangkan bencana yang lebih buruk, maka dalam keadaan ini pandangan beberapa mazhab seperti pandangan ulama Maliki boleh diamalkan. Ini kerana memelihara nyawa adalah lebih utama dalam hal ini.
Mengenai menjual sebahagian daging korban mahupun kulitnya, di dalam hadis Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Ali r.a supaya menguruskan daging korban serta apa-apa yang berkaitan dengan ibadah korban.
Maksud sabda baginda: Dari Ali r.a bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar dia menguruskan budan (unta-unta yang dikorbankan) Beliau, membahagi semuanya, dan jilalnya (kain yang diletakkan dibelakang unta ). Dan dia tidak boleh memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada penyembelihnya. (riwayat Bukhari no. 1717, tambahan dalam riwayat Muslim no. 439/1317).

Dalam riwayat yang lain Saidina Ali r.a memberitahu, yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkanku agar aku menguruskan unta-unta korban baginda, mensedekahkan dagingnya, kulitnya dan jilalnya (kain yang diletak dibelakang unta ). Dan agar aku tidak memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada tukang sembelihnya. Dan Beliau bersabda: Kami akan memberikan (upah) kepada tukang sembelihnya dari kami. (riwayat Muslim no. 348, 1317)
Hadis ini secara jelas menunjukkan, bahawa Saidina Ali r.a diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menyedekahkan daging korban, kulitnya, bahkan jilalnya. Dan tidak boleh mengambil sebahagian dari binatang korban itu untuk diberikan kepada tukang sembelihnya sebagai upah, kerana hal ini termasuk jual beli.
Daripada hadis ini banyak ulama mengambil dalil tentang larangan menjual sesuatu dari binatang korban, termasuk menjual kulitnya.

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.
"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".
Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini iaitu: Barang siapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya -atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya- untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya. Sedangkan jika dia mensedekahkannya, (maka) lebih aku sukai, sebagaimana bersedekah dengan daging binatang korban lebih aku sukai".

Perselisihan

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.
"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".
Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini, iaitu perselisihan dalam melarang menjual apa-apa yang berkaitan dengan binatang korban. Imam Syafie berpendapat sesiapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya-atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya, untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya.
Tukang sembelih diberi daging korban seperti orang ramai memperolehinya. Diberi daging korban kepada mereka bukan dengan niat upah sembelih, begitu juga ketika tukang sembelih menerima daging tidak boleh menganggapnya sebagai upah.

Sumber: Bicara Agama, Utusan

Wednesday, October 19, 2011

Perkembangan ilmu tajwid







MENURUT Imam Ibn al-Jazari hukum mempelajari ilmu tajwid adalah fardu ain. Bermakna setiap muslim yang mukalaf mesti memahami hukum asas dalam ilmu tajwid untuk membaca al-Quran dengan sebutan yang tepat.
Hasil daripada penjagaan hukum tajwid ialah al-Quran akan terus dibaca dengan bacaan yang tepat, keunggulan kalam Allah akan terpancar, mukjizat al-Quran terus terpahat dalam sanubari umat Islam.
Persoalannya, bilakah ilmu tajwid ini berkembang sehingga sempurna seperti pada hari ini dan adakah umat Islam terdahulu mengetahui semua istilah seperti izhar, idgham, mad wajib, mad jaiz dan lain-lain?
Kajian ulama mendapati ilmu tajwid mula sempurna adalah sekitar kurun 4 hijrah. Namun sebelum itu telah wujud hasil penulisan yang ditulis dalam bentuk bersama dengan ilmu Ulum al-Quran atau ditulis dengan menghurai bab-bab tertentu sahaja seperti bab makhraj huruf.
Merujuk kepada huraian Ali Ibn Abi Talib r.a tentang maksud tartil adalah mengelok sebutan huruf dan mengetahui wakaf. Ini mempengaruhi ulama terdahulu dalam penulisan ilmu tajwid dengan mereka menekankan bab makhraj huruf dan sifatnya.
Asas utama dalam ilmu tajwid ialah makhraj huruf dan sifatnya. Jika mendalaminya dengan baik daripada guru yang mahir tentang makhraj huruf dan sifatnya akan menghasilkan bacaan al-Quran yang tepat.
Berlainan dengan sesetengah masyarakat kita pada hari ini yang melebihkan hukum nun sakinah sama ada izhar, idgham atau hukum mad wajib dan mad jaiz dengan mengabaikan kaedah sebutan huruf dan mendalami sifat huruf. Dan amat sedikit yang mahir dalam bab wakaf (berhenti) dan ibtida' (memulakan bacaan).
Perintis penulisan ilmu tajwid bermula pada kurun 4 hijrah yang ditulis oleh Abi Muzahim al-Khaqani (meninggal pada tahun 325 hijrah). Penulisannya yang dinamakan Qasidah Ra'iyyah itu mengandungi 51 rangkap syair dan membicarakan beberapa tajuk dalam ilmu tajwid.
Qasidah Ra'iyyah menjadi pengaruh kepada penulisan ilmu tajwid pada zaman selepasnya dengan ramai ulama yang menaqalkan pendapatnya dalam penulisan mereka, menghurai dengan metod yang lebih mudah atau mengkritik pendapatnya.
Menariknya, Abi Muzahim tidak menggunakan istilah tajwid dalam kitabnya itu tetapi menggunakan kalimah Husnu al-Ada'.
Menurut Dr. Ghanim Qadduri, faktor kenapa tidak digunakan istilah tajwid adalah kerana istilah tersebut tidak masyhur ketika itu dan hanya sebahagian ulama sahaja yang menggunakannya.
Pada kurun berikutnya penulisan tajwid makin berkembang dan kesinambungan ini dilakukan beberapa ulama terkenal seperti Makki Ibn Abi Talib al-Qisi (meninggal pada tahun 437 hijrah) kitabnya adalah al-Ri'ayah, Abu Amru al-Dani (meninggal pada tahun 444 hijrah) kitabnya adalah al-Tajwid Fi al-Itqan wa al-Tajwid, Abdul Wahab al-Qurtubi (meninggal pada tahun 462 hijrah) yang mengarang kitab al-Muwaddah fi al-Tajwid.
Dr. Ghanim Qadduri telah mengkaji secara teliti penulisan dalam ilmu tajwid yang meliputi kitab atau risalah dan sama ada dicetak atau masih manuskrip.
Beliau menyusun mengikut urutan tahun sehingga kurun 13 hijrah mendapati lebih dari 100 karya yang dihasilkan ulama.

Kaedah terbaik mempelajari ilmu tajwid adalah bertalaqqi dengan guru.

Thursday, October 13, 2011

Kongsi & Muhasabah

KESALAHAN2 DALAM HUBUNGAN SUAMI  & ISTERI

Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri
Sumber: http://mashoori.wordpress.com

Islam mensyariatkan perkahwinan dan menjadikan perkahwinan itu sebagai pagar pemelihara kesucian nasab keturunan manusia. Firman Allah s.w.t:


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. [al-Rum: 21]

Maksud “al-Mawaddah” dalam ayat ini adalah jimak atau hubungan seks sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a, Mujahid, dan Qatadah manakala “al-Rahmah” pula menurut mereka adalah anak-anak.


Maka Allah s.w.t meletakkan hubungan intim antara suami isteri sebagai satu perkara penting dalam alam perkahwinan bahkan menjadi pengikat utama antara suami isteri kerana hanya melalui perkahwinan sahaja seseorang manusia dihalalkan melakukan hubungan seks yang merupakan antara syahwat terbesar manusia demikian melalui hubungan seks jua lahirnya keturunan dan zuriat umat manusia.

Oleh itu, amat penting bagi pasangan suami isteri untuk melakukan hubungan seks sesuai dengan kehendak syariat dan sunnah Nabi s.a.w. Maka di sini saya ingin menyentuh beberapa kesalahan yang terjadi dalam perkara ini:


Pertama: Melihat Hubungan Seks sebagai Adat atau Tuntutan Nafsu Sahaja.

Apabila hendak melakukan hubungan seks, suami isteri perlu faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan adalah satu ibadah kerana sabda Nabi s.a.w:

وفي بضع أحدكم صدقة

Maksudnya: “dan pada kemaluan seseorang kamu (digunakan untuk menjimak isterinya) adalah sedekah”. [Muslim & Ahmad].

Daripada hadis ini ulama telah bersetuju, hubungan seks antara suami isteri adalah ibadah dan diberi pahala atasnya. Hukumnya pula adalah wajib antara suami isteri yang memerlukannya. Dalilnya adalah sabda Nabi s.a.w:

إذا دعا الرجل امرأته إلى فراشه فأبت أن تجيء لعنتها الملائكة حتى تصبح

Maksudnya: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu dia (isteri) enggan maka dia akan dilaknat malaikat sehingga pagi”. [al-Bukhari & Muslim].

Maka apabila seorang isteri dipanggil suami untuk bermesra maka wajib dia datang walaupun dalam keadaan haid kerana wanita yang haid masih boleh bermesra dengan suaminya selama tidak melakukan seks penetretif berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

اصنعوا كل شيء إلا النكاح

Maksudnya: “Buatlah semuanya kecuali nikah” [Muslim & Ahmad].

Maksudnya boleh suami bermesra dengan isterinya yang haid dan nifas selama dia menjauhi tempat keluarnya darah.

Demikian juga hadis ini walaupun menunjukkan kepada wanita tetapi masuk juga kepada suami apabila isterinya mengajak kepada hubungan wajiblah dia penuhi kerana hadis:

وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya: “dan sesungguhnya isterimu mempunyai hak ke atasmu”. [al-Bukhari].

Para ulama berbeza pendapat berapa kali wajib melakukan hubungan seks itu, ada yang berpendapat setahun 3 kali sekurang-kurangnya, ada yang menyatakan 4 hari sekali, dan ada yang menyatakan setiap kali isternya suci daripada haid hendaklah dilakukan sekali (yakni sebulan sekali). Namun, yang zahir adalah wajib menurut keperluan setiap pasangan itu sendiri.



Kedua: Meninggalkan Doa Sebelum Jimak

Telah sabit dalam sunnah Nabi s.a.w hendaklah membaca doa khas yang diajar Nabi s.a.w sebelum melakukan jimak iaitu:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبْ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah Syaitan daripada kami dan jauhkanlah Syaitan daripada apa yang Engkau berikan kepada kami (anak)”.

Doa ini sabit dalam Sahih al-Bukhari dan lainnya serta membacanya memberi faedah yang besar iaitu mengelakkan syaitan daripada turut campur serta dalam hubungan seks mereka yang mana jika syaitan turut campur serta akan mengakibatkan terhasilnya zuriat yang jelik pada akhlaknya.

Demikian juga bagi pengantin baharu, apabila hendak melakukan hubungan seks buat kali pertama, hendaklah suami memegang ubun-ubun isterinya lalu membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا ، وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا ، وَمِنْ َشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya”. [Abu Daud, Ibn Majah-sahih-].

Doa ini juga sunat dibaca apabila kita membeli kenderaan baru atau khadam baharu dan seumpamanya.


Ketiga: Menambah Doa dan Zikir yang Tiada Asal dalam Syariat

Terdapat juga pihak-pihak yang menulis dan mengarang buku panduan hubungan suami isteri menyenaraikan doa dan zikir yang tiada asal usul dalam syariat, tidak bersumber kepada hadis-hadis yang sahih.

Tindakan ini amat bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w:


مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ


Maksudnya: “Sesiapa yang mereka cipta perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini maka (amalan itu) tertolak”. [al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, dan Ahmad].

Zikir dan bacaan doa khas adalah ibadat khas yang mesti bersumber daripada Rasulullah s.a.w tidak boleh direka-reka, maka perbuatan menambah-nambah bacaan seperti selawat sewaktu menyentuh bahagian tertentu daripada badan isteri, menyebut Asmaul Husna ketika hendak menyentuh atau mencium anggota tertentu adalah bidaah dolalah.


Keempat: Kepercayaan Larangan Melihat Kemaluan Suami Isteri

Tidak dinafikan ada pendapat sesetengah ulama yang menyatakan haram atau makruh melihat kemaluan antara suami isteri, bahkan ada yang beriktikad melihat kemaluan ini akan menjadikan anak buta atau cacat tetapi kepercayaan ini tidak dapat diterima sama sekali kerana ia berdasarkan hadis palsu yang berbunyi:

النظر إلى الفرج يورث الطمس

Maksudnya: “Melihat kepada kemaluan itu mewariskan buta”.

Dan hadis:

إذا جامع أحدكم زوجته أو جاريته فلا ينظر إلى فرجها فإن ذلك يورث العمى

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu menjimak isterinya atau jariahnya janganlah melihat kepada kemaluannya kerana itu mewariskan buta”.

Hadis-hadis ini adalah mauduk, yakni palsu [Lihat: al-Maudu'at, 2/271].

Adapun hadis:

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ فَلْيَسْتَتِرْ وَلاَ يَتَجَرَّدْ تَجَرُّدَ الْعَيْرَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendatangi isterinya maka hendaklah dia menutup (auratnya) dan janganlah berbogel seperti keldai”. [Ibn Majah]

Hadis ini daif sebagaimana dijelaskan al-Busairi r.h dalam al-Zawaid demikian juga al-Albani r.h dalam tahkik beliau terhadap Sunan Ibn Majah.

Demikian juga hadis Aisyah r.a katanya:

ما نظرت أو ما رأيت فرج رسول الله صلى الله عليه و سلم قط

Maksudnya: “Aku tidak pernah sama sekali melihat kemaluan Rasulullah s.a.w”. [Ibn Majah & Ahmad].

Hadis ini juga daif sebagaimana sepakat antara al-Busairi, al-Albani dan al-Arnauth.

Bahkan telah sepakat para ulama harus bahkan mustahab suami isteri saling pegang memegang kemaluan mereka untuk menambahkan keghairahan dalam hubungan. Imam Abu Hanifah r.h ditanya berkenaan hukum suami isteri saling memegang kemaluan antara mereka untuk menaikkan syahwat adakah salah? Maka beliau menjawab:

لاَ ، وَأَرْجُو أَنْ يَعْظُمَ الأَْجْرُ

Maksudnya: “Tidak menjadi kesalahan, bahkan aku berharap digandakan pahala bagi keduanya”. [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/90].

Imam Malik r.h pula berfatwa:

لا بأس أن ينظر إلى الفرج في حال الجماع وزاد في رواية ويلحسه بلسانه


Maksudnya: “Tidak ada salahnya untuk dia melihat kemaluan isterinya semasa jimak”. Dalam riwayat lain menambah: “dan harus dia menjilatnya dengan lidahnya”. [Mawahib al-Jalil, 3/406]

Demikian juga dalam I’anah al-Tolibin, kitab fiqah Syafii menyatakan harus seorang suami beristimta’ (bersenang-senang) dengan seluruh tubuh isterinya termasuk menjilat klitoris tetapi dijauhi halaqah dubur. [I'anah al-Tolibin, 3/340]. Ini menunjukkan harusnya melihat kemaluan antara suami isteri. Dasar keharusan ini adalah sabda Nabi s.a.w:


احفظ عورتك إلا من زوجتك أو ما ملكت يمينك

Maksudnya: “Jagalah auratmu kecuali daripada isterimu atau hamba sahayamu”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad serta ianya hasan].


Kelima: Merakam Aksi Seks dan Melihat Filem Porno untuk Ransangan

Antara seburuk-buruk kesalahan yang berlaku adalah merakam aksi seks yang dilakukan antara suami isteri. Jika yang merakam tersebut pihak ketiga maka keharaman dan kehinaannya amat jelas, demikian juga yang merakam itu suami isteri sendiri walaupun dengan alasan simpanan peribadi kerana tidak aman daripada rakaman itu terlepas ke tangan manusia lain paling kurang ahli rumahnya.

Telah sepakat ulama haram seseorang melakukan jimak dalam keadaan dilihat orang lain atau di tempat yang memungkinkan dilihat orang pada kebiasaannya dan sebahagian ulama memakruhkan jimak dalam bilik yang ada bayi kecil sekalipun.


Demikian juga perbuatan melihat filem porno untuk merangsang kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Telah maklum bahawa haram melihat aurat manusia lain sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Nur ayat 30 dan 31:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ…

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

dan sabda Nabi s.a.w:

لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا المرأة إلى عورة المرأة

Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki yang lain dan seorang wanita memandang aurat wanita yang lain…”[Muslim].

Maka memandang aurat berlawanan jenis tentu lebih haram lagi.


Keenam: Tidak Melakukan Muqaddimah

Sabda Nabi s.a.w:


” لا يقعن أحدكم على امرأته كما تقع البهيمة ليكن بينهما رسول ، قيل ما الرسول ؟ قال : القبلة والكلمة “

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu menjimak isterinya seperti haiwan, hendaklah ada antara antara kedunya utusan”. Sahabat bertanya: “Apakah utusan itu?” Jawab Nabi s.a.w: “Ciuman dan ucapan”. [al-Baihaqi].

Daripada hadis ini, menjadi sunnah untuk suami isteri melakukan muqaddimah jimak seperti bercumbu rayu dan melakukan foreplay. Tindakan meninggalkan cumbu rayu ini menyebabkan amalan jimak tadi terpesong daripada sunnah Nabi s.a.w.



Ketujuh: Memecahkan Dara dengan Jari

Antara perkara bidaah yang berlaku dalam masyarakat arab adalah memecahkan dara dengan jari sebelum si isteri masuk ke kamar suami untuk menjadi bukti isterinya masih dara. [Mukjam al-Bida', 84].

Demikian juga jika si suami memecahkan dengan jari semasa persetubuhan kerana seorang wanita itu mungkin telah terkoyak selaput daranya kerana terjatuh, banyak berjalan atau berlari, dan mungkin sahaja kerana kedatangan haid yang berat (heavy period). Tindakan suami memecahkan dara dengan jari akan mendatangkan rasa tidak senang jika tiba-tiba tiada darah yang keluar dan ini membuka jalan syaitan untuk menimbulkan syak wsangka pada suami terhadap isterinya. Wallahua’lam.


Kelapan: Melakukan Seks dalam Keadaan Tidak Sihat Tubuh Badan

Tidak ada tegahan syarak melakukan seks semasa suami atau isteri dalam keadaan kurang sihat seperti demam, selsema dan sebagainya tetapi secara ilmiahnya, ilmu Psikologi menetapkan perkara ini akan memberi kesan kepada anak yang terhasil semasa perhubungan tersebut.

Kondisi anak yang terhasil daripada persetubuhan semasa tubuh kurang sihat adalah lemah dan kurang daya tahan. Jadi hendaklah dielakkan melakukan seks penetratif dalam keadaan tubuh kurang sihat.


Kesembilan: Suami Tidak Menanti Isteri di Kemuncak

Hendaklah suami jangan menyudahkan hubungan sehingga isterinya juga mencapai orgasme kerana sabda Nabi s.a.w:

إذا أتى أحدكم أهله فليصدقها فإن سبقها فلا يعجلها

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendatangi (menjimak) isterinya maka berilah dia sedekah jika dia (si suami) mendahuluinya (si isteri) maka janganlah dia tergesa-gesa”. [Abu Yakla, daif].

Hadis ini daif tidak menjadi hujah namun secara ilmiahnya diketahui bahawa membiarkan isteri tidak mencapai kepuasan adalah satu kezaliman dan melanggar umum perintah Allah s.w.t:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “dan bergaullah dengan mereka (para isteri) dengan baik..” [al-Nisaa: 19].


Kesepuluh: Menyebarkan Rahsia Kamar

Amat jelik sekali akhlak mereka yang mendedahkan rahsia kamar tidur antara suami isteri kepada orang luar walau kepada ibu bapa sendiri sekalipun. Dalam hadis menyatakan:


إن من شر الناس منزلة الرجل يفضي إلى المرأة وتفضي إليه، ثم يصبح يتحدث بما جرى بينهما

Maksudnya: “Sesungguhnya seteruk-teruk manusia kedudukannya adalah seorang lelaki yang menyetubhi isterinya kemudian dia menceritakannya pada waktu paginya”. [Muslim].

Maka haram hukumnya menyebarkan rahsia kamar tidur kecuali dengan tujuan perubatan atau memohon fatwa dan seumpamanya daripada maslahat yang mendesak. [Maza Taf'al Lailatal Bina', 28].



Penutup:

Maka demikianlah sebahagian kesalahan yang berlaku dalam hubungan intim suami isteri dan perlu diperbetulkan oleh setiap pasangan suami isteri yang inginkan hubungan intim mereka berlaku sesuai dengan panduan syariat Islam yang suci.

Perlu diketahui, persetubuhan merupakan langkah pertama dalam rangka membentuk seorang anak, maka amat wajar pembentukan anak itu dilakukan dengan cermat menurut garis panduan syariat dan janganlah menjadikan seks semata-mata untuk melampiaskan nafsu tetapi jadikanlah sebagai ibadah yang mudah-mudahan dengannya kita mendapat reda Allah s.w.t.

KONGSI ILMU..

WAHAI SUAMI! LAYANI ISTERIMU DENGAN BAIK
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmoni. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

"Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah isteri yang solehah." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1467.

Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah).

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-NYA antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." - Surah al-Ruum: 21.

Suami sememangnya telah diperintahkan oleh ALLAH untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Melalui buku ini, marilah kita menelusuri sunnah Nabi s.a.w tentang peranan suami dalam usaha membentuk hubungan yang penuh mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang) bersama isteri.

Melayani Isteri Dengan Baik
Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak. Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Titmidzi, kitab al-Manaqib, hadis no: 3830.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi, hadis no: 1082.

Para suami juga dituntut berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam semua perkara yang selari dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. DIA mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-NYA ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-NYA." – Surah al-Nahl: 90.

Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka ganjaran ALLAH di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang-orang yang berlaku adil di sisi ALALH nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat dari cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (ALLAH) lalu Nabi mengangkat tangan kanan-NYA. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1827.

Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan." – Surah al-Nisa’: 34.

Walaupun ALLAH telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin bagi keluarganya namun ia bukan menjadi 'lesen' bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri-isteri mereka.
Kekuasaan yang diberi oleh ALLAH itu sebenarnya menuntut sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah ALLAH bagi melayan kaum wanita atau isteri dengan sebaik mungkin.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Memberi Nafkah Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan
Sudah menjadi kewajipan bagi seorang suami memberi nafkah untuk ahli keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka." – Surah al-Nisa’: 34.

Kadar pemberian nafkah ini adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak sepatutnya membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan ALLAH kepadanya (sekadar yang mampu). ALLAH tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan ALLAH kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) ALLAH akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." – Surah al-Talaq: 7.

Seorang sahabat bernama Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1830.

Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai keutamaan yang besar di sisi ALLAH.
Sabda Nabi s.a.w:

"Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan ALLAH, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 995.

Sabda Nabi s.a.w:

"Tiada pekerjaan yang lebih baik daripada seorang lelaki yang bekerja dengan tangannya sendiri dan tiada infak yang lebih baik daripada seseorang memberikan nafkah untuk diri dan keluarganya, anaknya, pembantunya dan semua itu dihitung sebagai sedekah baginya." - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 2129.

Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang memiliki kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap isteri dan keluarganya. Apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang dicela oleh ALLAH dan Rasul-NYA.

Sabda Nabi s.a.w:

"Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2150.

Bagi isteri yang mempunyai suami bersikap bakhil, maka dibenarkan baginya untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuannya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.
Hindun bin ‘Utbah bin Rabi’ah pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata:

"Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 2460.

Dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya. Oleh itu, para suami hendaklah benar-benar prihatin terhadap kewajipan memberi nafkah buat ahli keluarganya. Apatah lagi ALLAH telah melebihkan kaum lelaki berbanding kaum wanita dengan beberapa keistimewaan.
Adakah layak bagi seorang suami untuk mendapat keistimewaan ini sekiranya dia tidak menjalankan kewajipan mencari nafkah dan bergantung kepada harta isteri walaupun mereka mampu bekerja?

Sesungguhnya lelaki yang merdeka dan mulia adalah mereka yang membina keluarga mereka hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada harta isterinya.
Suami yang bergantung kepada harta isteri bukan sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi juga mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya.

Sabda Nabi s.a.w:

"Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya ALLAH! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1442.

Sabda Nabi s.a.w:

"Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1442.

Melayani Keperluan Seks Isteri

Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, sudah menjadi tanggungjawabnya melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya. Namun, sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami.

Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam Jami’ al-Saghir, hadis no: 549 dan al-Hafiz al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid, hadis no: 7566.

Oleh itu, para suami hendaklah menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks.

Hal ini amat penting kerana jika seorang suami tidak prihatin terhadap permasalahan ini ia boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang terlalu remeh untuk diperbincangkan. Tetapi, di dalam Islam berjimak adalah termasuk perkara yang boleh mendatangkan pahala.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no:1006.

Oleh itu, pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut.


Suami Hendaklah Bersikap Romantik Terhadap Isterinya
Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini memang agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w sering mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid.

Aishah r.a berkata:

"Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 153.

Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.

Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya.

Aisyah r.a berkata:

"Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 250.

Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah. Aisyah menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya:

"Wahai Aisyah! Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 3217.

Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda s.a.w sebagaimana riwayat berikut:

"Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 300.

Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini. Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri.

Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang terdapat dalam hadis-hadis baginda. Oleh itu, marilah kita berusaha menjadi seorang suami yang romantis dalam rangka mencontohi sifat Nabi s.a.w.

Suami Hendaklah Bergurau Senda Dengan Isteri

Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan. Namun, ia hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta tuntutan syarak dan tidak berlebih-lebihan.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang." - Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 2312.

Ternyata Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata:

"Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2214.

Juga telah diriwayatkan daripada Aishah r.a bahawa Nabi s.a.w pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari Sudan. Katanya:

"Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah r.a) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya atau Rasulullah s.a.w yang berkata: Apakah kamu ingin melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 950.

Nabi s.a.w juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan di rumah Aishah r.a.

Aisyah r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku (pada hari raya) dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 949.

Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.


Suami Hendaklah Meluangkan Masa Bersama Isteri

Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya.
Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat Firman ALLAH S.W.T:

"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.

Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab melayani isteri dengan baik.

Sabda Nabi s.a.w:

"Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no 1975.

Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.

Membina Suasana Ibadah Dalam Rumahtangga
Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah daripada ALLAH. Oleh itu, salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah membentuk sebuah rumahtangga yang sentiasa dihiasi dengan amal ibadah dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesiapa yang beramal soleh daripada kalangan lelaki atau perempuan sedang dia beriman, sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." – Surah al-Nahl: 97.

Para suami hendaklah sentiasa menganjurkan para isteri beribadah bersamanya seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Quran dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah s.a.w sentiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah ALLAH S.W.T:

"Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya. KAMI tidak pernah meminta rezeki kepadamu, (bahkan) KAMIlah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik hanya bagi orang-orang yang bertakwa." - Surah Toha: 132.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajjud) sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila baginda ingin mengerjakan solat witir, baginda akan mengejutkan aku." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 512.

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda:

"Semoga ALLAH merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Apabila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), dia akan memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga ALLAH merahmati seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Apabila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 1113.

Ssewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Disamping itu, suami isteri juga hendaklah berusaha untuk saling memperingatkan antara satu sama lain agar bersama-sama dapat melaksanakan segala perintah ALLAH sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah serta meninggalkan segala larangan-NYA.

Mereka hendaklah berganding bahu menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang islamik berteraskan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang harmoni. Saranan ini sesuai dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada ALLAH dalam setiap perkara yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." – Surah al-Tahrim: 6.

Suami Hendaklah Sentiasa Menunjukkan Wajah yang Ceria

Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah tsabit perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya:

"Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 2626.

Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling utama bagi suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta.


Suami Hendaklah Menjaga Penampilan Diri
Di samping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah al-Baqarah: 228.

Ibn Abbas r.a berkata:

“Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.”

Tambahan pula ALLAH menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya ALLAH itu Maha Indah dan menyukai keindahan." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 91.

Rentetan dari ini maka para suami hendaklah berusaha kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang ke arahnya.


Suami Hendaklah Sabar Melayani Karenah Isteri

Perempuan memang terkenal dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Namun, para suami harus sabar ketika berhadapan dengan karenah sedemikian rupa. Para suami hendaklah berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah wanita dengan baik." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5186.

Hadis ini menganjurkan para suami menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan.

Oleh itu, para suami haruslah bijak mencari masa paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap, sebaik-baiknya ditangguh dahulu penjelasan ataupun menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram.
Sekiranya wujud di dalam diri isteri sifat-sifat yang kurang disenangi maka kita handaklah mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan berusaha melenyapkan perasaan benci terhadap isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1469.

Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka ia hendaklah dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar." – Surah al-Nisa’: 34.

Jika suami telah melihat tanda-tanda penderhakaan wujud pada isterinya, dia hendaklah menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman ALLAH terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya tetapi dia masih tidak berubah, suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr).

Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri akan kesilapannya, suami hendaklah memberi pelajaran kepada isteri dengan memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menangani sikap-sikap negatif yang mungkin wujud pada para isteri.

Kewajipan Suami Menyediakan Rumah Untuk Isteri

Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan kewajipan seorang suami. Ia amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesar serta mendidik anak-anak.

Firman ALLAH S.W.T:

"Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu." – Surah al-Talaq: 6.

Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dan berada di dalam tempoh idah namun ini sebenarnya hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak mendapatkan tempat tinggal daripada suami.
Tentang saiz serta reka bentuk rumah, ia bergantung kepada kemampuan para suami.

Firman ALLAH S.W.T:

"Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." – Surah al-Baqarah: 233.

Bagi suami yang memiliki sedikit harta, dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu. Sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar.
Seorang isteri juga berhak mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut.
Penolakan isteri itu berkemungkinan menunjukkan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain.


KESIMPULAN

Inilah beberapa peranan suami menurut al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w yang dapat dijadikan tauladan membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ia dapat dijadikan pedoman bagi seluruh pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri mereka. Contohilah sunnah Nabi s.a.w kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik.

Firman ALLAH S.W.T:

"Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.

Sufyan bin ‘Uyainah r.h berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka ia bererti batil.”

ssumber: islamsolusi.com

Wednesday, October 5, 2011

HUDUDULLAH

Oleh: Ust Nasaruddin Hassan Tontowi

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud. - siri pertama

                                                                             بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله الحَكَمُ الْعَدْلُ اللطيف الخبير له ملك السموات و الأرض و هو على كل شئ قدير   و الحمد لله الذي فضل العلماء بإقامة الحُجَجِ الدينية و معرفة الأحكام  و الصلاة و السلام على رسول الله أرسله الله بشيرا و نذيرا بين يدي الساعة فأدى الأمانة و بلغ الرسالة و نصح الأمة و جاهد في الله حق جهاده و على أصحابه  إمامِ كلِّ إمامٍ و من تبعه و نصره و والاه

Muqaddimah

1. Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim. Justeru sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya, kita tidak mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke  36 :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

maksudnya :

"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata."

2. Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah ditetapkan secara tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan dibekukan, tetapi ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan ummat manusia sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah dari Tuhan pencipta manusia. Lihat ketetapan Allah swt di dalam surah al Maaidah, ayat 49 :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

maksudnya :

"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."

3. Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh dipinda atau diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang memiliki authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun. Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

maksudnya :

"demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka mereka adalah orang - orang yg zalim"

4. Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya  adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah memperkecil dan mendustakan Allah swt. Allah tegaskan akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Insafi juga penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah dan ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan jenayah."

5. Hudud memberi keadilan dan mengembalikan kehidupan yang sejahtera dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum Hudud ini kecuali satu golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum Hudud adalah hukum yang dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit kes. Non muslim juga tidak perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan hukuman Hudud bahkan mereka kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada. Firman Allah swt. di dalam surah al Maaidah ayat 42 :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

bersambung .....

Tuesday, September 6, 2011

Puasa 6: Suatu Penjelasan

Puasa Sunat 6 Syawal - Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat -
Ustaz Dr Abdul Bassit Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

بسم الله الرحمن الرحيم
أجمعين. الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah
sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda 
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.
Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: "وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان."
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.