Pejam celik pejam celik kita sudah menghampiri bulan Ramadhan lagi bagi sessi 1432H. Bulan ramadhan bulan tarbiyyah..itulah yang biasa diungkapkan oleh para ustaz atau penceramah di mana-mana sahaja. Jika di “reverse” sedikit slot-slot kehidupan kita sebagai muhasabah, sejauh manakah Ramadhan tahun lepas telah mentarbiyyahkan diri kita? Semoga Ramadhan tahun ini menjanjikan satu lagi peluang untuk kita mentarbiyyahkan diri kita kearah menjadi hamba Allah yang lebih bertakwa..Insya Allah.
Antara ibadah yang sering diamalkan serta telah menjadi ibadah “trade mark” di bulan Ramadhan selepas solat tarawih ialah amalan bertadarus al-Quran. Ia sesuai dengan kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri sebagai bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)”. (al-Baqarah : 185)
Mempelajari serta istiqamah dalam membaca ayat-ayat suci al-Quran sangat dituntut dalam Islam apatah lagi sekiranya di lakukan di bulan Ramadhan yang mulia di mana gandaan pahalanya telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui hadis-hadis yang ma’ruf. Sabda Rasulullah:
مَاْ تَقَرَّبَ الْعِبَاْدِ إِلَى اللهِ تعالى بـِمِثْلِ مَا خَرَجَ مِنْهُ يَعْنِيْ الْقُرْآنَ
“Tidaklah hamba-hamba itu mendekatkan diri mereka dengan Allah seumpama apa yang keluar dariNya (yakni yang datang dari Allah) iaitulah al-Quran”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, at-Thabrani dari Abu Umamah r.a.)
Selain membaca al-Quran secara berseorangan, membaca dalam satu kumpulan atau halaqah segara bergilir-gilir (sambil didengari oleh yang lain serta membetulkan bacaan sekiranya terdapat kesalahan) juga merupakan satu amalan yang sangat dituntut. Amalan ini dikenali oleh masyarakat Islam sebagai bertadarus al-Quran. Perkara ini telah diterangkan oleh Junjungan besar kita sebagaimana sabdanya:
مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِيْ بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَاْبِ اللهِ وَ يَتَدَاْرَسُوْنَهُ فِيْمَاْ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ وَ غَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَ حَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَ ذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ
“Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka (yakni bertadarus), maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud)
Amalan bertadarus di bulan Ramadhan juga telah menjadi amalan Rasulullah bersama malaikat Jibril sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa “Pada setiap malam di bulan Ramadhan malaikat Jibri datang kepada Rasulullah SAW untuk bertadarus al-Quran dengan baginda (riwayat al-Bukhari).
Menurut amalan masyarakat Islam dari dahulu hingga sekarang terdapat beberapa cara bertadarus yang diamalkan berdasarkan tahap dan kemampuan masing-masing:
1. Membaca ayat al-Quran samaada seorang atau beberapa orang dan diselangi dengan terjemahan. Cara ini lebih menjuruskan kepada penekanan terhadap hukum tajwid dan pemahaman ayat al-Quran serta tiada target untuk khatam pada bulan ramadhan tersebut. Ini kerana cara ini agak lambat dan peserta tadarus tidak boleh membaca dengan jumlah yang banyak seperti 1 juzuk semalaman kerana memerlukan masa yang panjang. Namun ia dianggap lebih berkesan kerana bukan sahaja mempelajari bacaan bahkan maksud ayat sekali bahkan ianya termasuk dalam maksud hadis di atas iaitu… “membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka ” iaitu mempelajari maksud ayatnya.
2. Membaca secara berkumpulan dalam satu atau beberapa halaqah dengan bertujuan untuk khatam pada bulan tersebut. Cara ini sesuai bagi golongan yang sudah agak lancar membaca al-Quran. Penekanan hanya ditumpukan pada hukum-hukum tajwid tanpa mengambil kira bacaan tafsir al-Quran. Jika seorang ahli membaca, ahli-ahli yang lain mendengar dan menyemak bacaan beliau dan saling menegur sekiranya terdapat kesalahan bacaan. Selepas satu muka (biasanya) peserta seterusnya akan menyambung dan disemak oleh ahli yang lain dan begitulah seterusnya. Cara ini merupakan cara yang banyak diamalkan dalam masyarakat Islam. Ia dilakukan selepas solat tarawih atau selepas solat subuh di surau-surau atau masjid. Setelah khatam mereka akan meraikannya dengan majlis khatam al-Quran dengan mengadakan jamuan berbuka puasa secara jamaie di masjid tersebut.
3. Bertadarus tanpa melihat kepada Mushaf. Cara ini biasanya dilakukan oleh golongan huffaz al-Quran yang telah menguasai ilmu tajwid atau kebanyakan maksud al-Quran. Ia bertujuan untuk mentaqrir hafazan disamping memperkemaskan penguasaan tajwid darisegi amali. Caranya sama sahaja dengan cara yang kedua cuma bezanya ia dibaca secara hafazan dan kadar bacaannya agak panjang bagi seorang ahli iaitu satu maqra’ atau rubu’ atau hizib. Cara ini juga diamalkan ketika saya belajar di Maahad Qiraat al-Azhar, Mesir.
Apa jua cara yang dipilih semuanya terdapat kelebihan yang tersendiri. Justeru kita boleh memilih mana-mana cara yang dirasakan terbaik dan sesuai dengan kemampuan ahli halaqah. Yang penting ialah kita bersungguh-sungguh untuk mempelajari serta membaca al-Quran dengan Istiqamah terutamanya di bulan mulia yang bakal mendatang. Ini juga bertepatan dengan maksud firman Allah:
الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ
Maksudnya : Orang-orang yang kami telah berikan kitab dan mereka membacanya dengan bersungguh-sungguh (bacaan yang sebenar) mereka itulah golongan yang beriman dengannya.
(al-Baqarah: 121)
Semoga dengan kesungguhan kita membaca al-Quran Allah SWT akan menambah keimanan kita, melipatgandakan amalan kita, memperelokkan akhlak dan membersihkan hati kita serta memberikan hidayah kepada kita untuk mematuhi arahan dan laranyan-Nya seterusnya mencapai objektif di bulan Ramadahan sebagai madrasah Taqwa. Insya Allah. Selamat beramal… Ibnu Yusuf al-Syubrowi
No comments:
Post a Comment