Monday, April 25, 2011

Kongsi Pandangan: Mari mengaji

Al-Quran merupakan kitab suci bagi umat Islam. Bacaannya dikira sebagai Ibadah dan diberi ganjaran serta dinaikkan martabatnya disisi Allah SWT berdasarkan kadar bacaan dan hafazannya sebagaimaan yang dinyatakan oleh junjungan besar kita Muhammad SAW (Mafhum Hr Tirmizi). Namun bagi mencapai tujuan tersebut Umat Islam haruslah mempunyai sifat cintakan al-Quran serta istiqamah dalam membaca dan memahami serta mengamalkan ajarananya.
Sekarang walaupun anak-anak telah diajar bacaan al-Quran seawal 4 atau 5 tahun ditambah lagi dengan program j-Qaf di sekolah rendah, namun bilangan anak-anak yang tidak minat membaca al-Quran agak ramai. Rata-rata mereka hanya membaca sekadar untuk memenuhi silibus di sekolah atau untuk  khatam sahaja, apabila telah khatam maka telah selesailah tugas mereka. Hasil tinjauan rambang juga mendapati  pelajar-pelajar peringkat tinggi sama ada kolej atau university masih ramai yang tidak mampu membaca al-quran dengan baik atau dengan erti kata lain iqra’ pun tak lepas. Hal ini mungkin hasil pemahaman apabila dah khatam tugas dah selesai  atau tak sempat khatam pun bila masuk sekolah menengah kira “tamat”. Ia juga mungkin berpunca kesilapan sesetengah guru yang hanya mengajar mengaji sahaja tanpa disusuli nasihat supaya mengamalkan bacaan al-quran di rumah. Tambahan lagi apabila tiadanya budaya membaca al-Quran yang boleh dijadikan contoh anak-anak di rumah.
Sesetengah Umat Islam merasakan membaca al-Quran tidaklah sepenting urusan kehidupan seharian yang bertujuan mengumpul harta dan mengejar kesenangan dunia . Golongan yang tidak pandai semakin jauh dan merasa malu untuk belajar al-quran, manakala golongan yang pandai sikit-sikit merasakan aku dah boleh baca dan tak perlu untuk  belajar lagi. Kerana sifat inilah kadang-kadang kita dapat ramai di kalangan golongan ustaz atau imam sendiripun masih salah dalam bacaan ayat-ayat yang lazim kerana merasakan mereka dah pandai dan tak perlu belajar lagi. Kalauada kelas al-Quran di surau atau masjid pun hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja, yang akhirnya tinggal tok guru yang setia menunggu murid-murid yang tak kunjung tiba.
Perlu diingat bahawa walaupun al-Quran  diturunkan sebagai panduan hidup dan bukan hanya untuk dibaca sahaja namum bacaan merupakan kunci bagi memahami serta menghayati ajarannya. Mana mungkin seseorang yang tidak mampu membaca al-Quran akan terbuka hatinya untuk memahami dan mengamalkan al-Quran. Sedangkan para ulama terdahulu sebahagiannya telah menghabiskan hampir keseluruhan hidup mereka untuk mempelajari cara bacaan al-Quran serta berusaha untuk menjaga al-Quran dari terseleweng. Justeru kita haruslah meyakini bahawa orang yang mampu menguasai bacaan al-Quran dengan baik tergolong dalam firman Allah yg bermaksud : “Barang siapa yang diberi Hikmah sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak.”(al-Baqarah :269). Apakah kebaikan bagi orang yang mempelajari al-Quran? Secara ringkasnya dapatlah dinyatakan disini iaitu:
1.      Sebagai pintu kebijaksanaan untuk menerokai ilmu Allah yang luas
2.      Sebagai motivasi dalam menghadapi rutin kehidupan yang semakin mencabar
3.      Menenangkan jiwa dari pelbagai tekanan dan tipu daya dunia
4.      Mendisplinkan diri dengan menetapkan hizb-hizb tertentu serta masa tertentu untuk  membaca al-Quran secara istiqomah.
5.      Dimurahkan rezki, mendapat keberkatan dalam kerja seharian dan mendapat syafaat di akhirat.
6.      Sentiasa melazimi bacaan al-Quran dan memahami maksudnya akanmenjadikan kita sentiasa dalam peliharaannya..sebagaimana sabda mafhum Sabda Rasulullah SAW: Ahli al-Quran ialah ahli Allah dan orang-orang keistimewaanNya.(Hr Ahmad)
Justeru marilah kita sama-sama bermuhasabah di manakah tahap iqra’ kita sekarang. Untuk mengetahui bacaan kita betul atau salah carilah guru dan perdengarlah bacaan kita. Jangan bila berlaku kematian ahli keluarga bacaan kita tidak dapat membantu mereka lantaran tajwid yang  lintang pukang atau bila berlaku "kerasukan" bacaan kita ditegur oleh jin yang merasuk. Lebih sedih lagi kalau dia yang mengajar kita bacaan yang betul.  Oleh itu luangkan sedikit masa kita untuk mempelajar al-Quran. Carilah waktu yang sesuai seperti selepas magrib, selepas subuh atau sebelum memulakan kerja harian di pejabat. 5/10 minit sudah memadai, cubalah anda akan merasai kelazatannya…Allahu waliyyu tawfiq wal musta'an.

No comments:

Post a Comment