Friday, June 24, 2011

BASMALAH

PERBAHASAN TENTANG BASMALAH
Dalam adab tilawah, Basmalah atau bacaan “بسم الله الرحمن الرحيم” pada awal surah hukumnya adalah sunat bagi semua Imam Qiraat kecuali pada surah al-Taubah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn al-Jazari:
وفي ابتدا السورة كل بسمل
Maksudnya: Pada awal surah semua Imam membaca dengan Basmalah
 Manakala  bacaan  Basmalah di antara dua surah merupakan khilaf antara ulama Qiraat.  Ibn al-Jazari dalam Tayyibah al-Nashr menyatakan:
دم ثق رجا وصل فشا وعن خلف   x   بسمل بين السورتين بي نصف
فاسكت وصل والخلف كم حما جلا
Rumusan daripada matan tersebut adalah seperti berikut:
1.       Qalun, Asim, Ibn Kathir, al-Kisaie dan al-Asbahani -  membaca dengan Basmalah.

 Ini berdasarkan Hadis Rasulullah SAW daripada Said bin Jubayr:

كان النبي صلى الله عليه وسلم لايعلم انقضاء السورة حتى تنزل بسم الله الرحمان الرحيم
Maksudnya: Rasulullah SAW tidak mengetahui berakhirnya sesuatu surah sehinggalah turunnya Basmalah.

2.       Hamzah -  (Wasal) Menyambung antara dua surah tanpa Basmalah. Ini menunjukkan bahawa bagi Imam Hamzah al_Quran kesemuanya adalah satu surah sahaja. Kaedah ini membolehkan para Qurra’ mengaplikasikan hukum tajwid pada huruf terakhir surah pertama dengan huruf awal surah selepasnya darisegi hukum hamzah wasal atau Qata’, Izhar, Idgham dan sebagainya.

3.      Khalaf al-Ashir- Membaca dengan saktah dan wasal (tanpa Basmalah).

4.      Ibn Amir, Abu Amr , Ya’qub dan al-Azraq – membaca dengan 3 wajah iaitu Basmalah, al-Saktah dan Wasal.

Kesemua kaedah di atas adalah untuk kesemua surah kecuali antara surah al-Anfal dan surah selepasnya iaitu al-Taubah. Sekiranya diperhatikan dalam Mushaf Rasm Uthmani, setiap awal surah dituliskan Basmalah (walaupun terdapat khilaf ulama darisegi pengiraannya sebagai ayat) kecuali surah al-Taubah. Hal ini kerana pada zaman sahabat Mushaf al-Imam tidak dituliskan Basmalah pada surah tersebut dan ianya diakui dan dipersetujui oleh Saidina Uthman r.a.
Ibn al-Jazari dalam Syarh Tayyibah al-Nashr menyatakan bahawa Basmallah tidak ditulis pada awal al-Taubah kerana ia diturunkan dengan pedang (ketika perang Tabuk). Hukum ini hanya pada awal surah al-Taubah sahaja, Justeru di tengah surah al-Taubah (khilaf) atau mana-mana surah lain hukumnya adalah harus sama ada ingin memulakan dengan Istia’zah dan basmalah atau  Istia’zah sahaja sebagaimana kata-kata Ibn al-Jazari:
وسطا خير وفيها يحتمل
Kebanyakan kitab-kitab tafsir membahaskan  permasalah ini ketika menafsirkan ayat pertama surah al-Taubah. Sebagai contoh Imam al-Qurtubi telah membawa lima pendapat ulama sebagai pencerahan kepada permasalahan ini;
1.       Kebiasaan Arab Jahiliyyah jika ingin menamatkan perjanjian dengan sesuatu kaum, mereka akan menulis surat tanpa dimulai dengan Basmalah. Justeru apabila turun surah al-Taubah yang  melepaskan perjanjian antara Rasulullah dan kaum Musyrikin (sebagaimana ayat pertama surah al-Taubah), Rasulullah mengutuskan Saidina Ali bin Abi Talib k.w dan beliau membacakan perutusan Rasulullah  terhadap kaum Musyrikin (surah al-Taubah) sebagaimana tertulis, tanpa Basmalah sebagaimana adat mereka sebelum ini.

2.       Riwayat daripada al-Nasa’i bahawa Ibn Abbas r.a berkata: Aku bertanya Saidina Uthman r.a , Apakah yang membuatkan kamu menggabungkan surah al-Anfal (al-Mathani –surah lebih kurang seratus ayat digabung dengan surah lain menjadi lebih kurang 200 ayat) dengan al-Taubah (al-Miayni- lebih kurang seratus ayat ) dan tidak ditulis antaranya Basmalah? Dan kamu letakkannya dikalangan tujuh surah yang panjang (al-Sab’u al-Tiwal)?Jawab Saidina Uthman r.a: Adalah Rasulullah SAW apabila turun sesuatu ayat al-Quran, baginda memanggil penulis-penulis wahyunya  dan bersabda: “Letakkan letakkan ayat ini dalam surah sekian-sekian”. Surah al-Anfal antara surah awal yang diturunkan dan al-Taubah antara yang terakhir dan kisah yang terdapat dalam kedua-duanya terdapat persamaan. Tatkala Rasulullah wafat baginda tidak menerangkan kepada kami bahawa al-Anfal adalah sebahagian  daripadanya (al-Taubah) justeru kami menyangka ia sebahagian daripadaanya, lantas kami kombinasikannya  sekali dan tidak menulis antaranya Basmalah. Al-Tirmizi mentakhrijkan hadis ini sebagai Hasan

3.      Riwayat daripada Saidina Uthman r.a juga: Apabila turun  awalnya (al-Anfal) turun bersamanya Basmalah. Diriwayatkan daripada Ibn Ijlan bahwa telah sampai kepada pengetahuan beliau bahawa surah al-Bara’ah adalah menyamai surah al-Baqarah atau lebih kurang. Justeru tidak ditulis padanya Basmalah (surah al-Anfal sekiranya ditambah dengan surah al-Taubah , 75+129= 204 lebih kurang dengan surah al-Baqarah 286 ayat iaitu kategori al-Sab’u al-Tiwal.

4.      Riwayat Kharijah, Abu Ismah dan lain-lainnya: Ketika penulisan Mushaf pada zaman Uthman r.a para sahabat telah berselisih pendapat  sama ada surah al-Anfal dan al-Bara’ah satu surah atau 2 surah berbeza. Maka ditinggalkan ruang antara dua surah bagi meraikan pendapat ianya dua surah berbeza dan ditinggalkan tulisan Basmalah bagi meraikan pendapat ianya satu surah sehinggalah kedua-dua pihak berpuas hati.

5.      Berkata Abdullah bin Abbas r.a : Aku bertanya Saidina Ali: kenapakah tidak di tulis Basmalah pada surat al-Taubah?Jawabnya: Kerana Basmalah adalah untuk keamanan (rahmat) dan Bara’ah diturunkan dengan pedang tiada keamanan  padanya.

Akhirnya al-Qurtubi menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih kenapa tidak ditulis Basmalah pada awal surah al-Taubah ialah kerana Saidina Jibril  tidak membacanya ketika diturunkan surah ini. Allahu a’lam bi al-Sawab - Ibnu Yusuf.



No comments:

Post a Comment