PENGENALAN TAFSIR AL-TABARI
Tafsir al-Tabari merupakan salah satu al-Masadir al-Asliyyah yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran berdasarkan pandangan ulamak salaf serta pengajaran Rasulullah yang diriwayatkan melalui sanad yang thabit. Ia juga sering dijadikan rujukan utama dalam kitab-kitab karangan ulamak selepasnya sama ada dalam bidang tafsir sendiri atau bidang-bidang agama yang lain.
Dalam pembacaan dan penelitian saya, selain meriwayatkan pendapat-pendapat ulamak salaf yang terdiri daripada para sahabat dan tabicin antara lain keistimewaan Tafsir al-Tabari ialah ia membahaskan ilmu qiraat dengan agak terperinci jika dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain.
Pada peringkat permulaan ilmu tafsir hanya berkembang melalui periwatan dari mulut ke mulut iaitu dari Rasulullah kepada para sahabat dan seterusnya para tabicin. Manakala pada peringkat kedua, ilmu tafsir mula ditulis bersama-sama dengan penulisan hadis dengan dijadikan tafsir salah satu daripada bab-babnya. Seterusnya ilmu tafsir melalui satu tahap penyusunan secara tersendiri dalam kitab-kitab tafsir (tahap ketiga) yang terpisah dari ilmu hadis.
Sebelum al-Tabari telah terdapat ulama-ulama tafsir yang memulakan penulisan tafsir ini dalam kitab yang terpisah dari ilmu lain walaupun tidak dalam bentuk yang sempurna merangkumi kesemua al-Quran. Antara yang masyhur adalah seperti Sufyan bin Said al-Thawri (m.161H), Abdullah bin Mubarak al-Marwazi (m.181H) Sufyan bin cUyynah (m.198H) Abd al-Razzaq al-Sancani (m.211H) Ahmad bin Hanbal (m.241H) dan Ibn Majah (m.273H)
Al-Tabari merupakan antara ulama terawal yang membahaskan penafsiran ayat-ayat al-Quran secara tersusun mengikut turutan surah, ayat dan jumlah serta berjaya menghabiskan penafsiran beliau pada keseluruhan ayat-ayat al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam masa lapan tahun. Ia telah ditulis secara imlaci oleh sahabat-sahabatnya sebagaimana yang diceritakan dalam Tarikh Baghdad melalui riwayat Abi Bakr bin Balawayh katanya:
“Abu Bakr Muhammad bin Ishaq (Ibn Khuzaymah ) telah bertanya kepadaku: Aku mendapat tahu (benarkah) kamu telah menulis tafsir Muhammad bin Jarir? Aku menjawab: Ya, kami telah menulis secara imlac. Beliau bertanya: Kesemuanya? Aku menjawab: Ya. Beliau bertanya lagi: Pada tahun berapa? Maka aku menjawab: Dari tahun 83-90 (283H-290H). Maka beliau meminjamnya daripadaku dan memulangkannya kembali selepas beberapa tahun sambil berkata: Aku telah membacanya dari awal hingga akhir dan aku tidak mendapati sesiapa di muka bumi ini yang lebih alim dari beliau Ibn Jarir namun telah dizalimi oleh golongan Hanabilah.”
Al-Tabari memulakan penulisan tafsirnya ketika umurnya menghampiri 60 tahun iaitu selepas beliau mencapai kelayakan sebagai seorang ahli tafsir, dengan bekalan ilmu yang sepatutnya bagi seorang mufassirin. Pada tahap ini beliau telah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mendalami ilmu qiraat sehingga mencapai darjat seorang Imam Qurra’. Beliau juga telah mengarang beberapa buah kitab qiraat yang mengumpulkan wajah bacaan qurra’ dari kalangan sahabat dan tabiin. Di samping itu beliau juga telah mendalami pelbagai bidang ilmu lain serta menterjemahkannya melalui penulisan kitab-kitab seperti Hadis, Bahasa Arab, Fiqh (sehingga mencapai darjat mujtahid mutlak), akidah serta permasalahannya dan Sirah. Faktor utama penguasaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu ini ialah kehebatan semulajadi yang diberikan Allah SWT kepadanya seperti kecerdasan akal, kecerdikan dan daya penumpuan yang tinggi serta keupayaannya menguasai kaedah takwil dan istinbat hukum. Kesemua himpunan ilmu ini telah melayakkan beliau untuk mengarang kitab tafsirnya dengan persembahan yang hebat dan menarik.
Ketika ingin memulakan penulisan tafsirnya al-Tabari telah berkata: “ Aku telah beristakharah kepada Allah, dan aku telah memohon pertolongan-Nya terhadap niatku untuk mengarang tafsir sebelum aku memulakannya selama tiga tahun, maka Allah SWT telah membantu aku melakukannya”. Pada asalnya al-Tabari ingin menafsir al-Quran sebanyak 30000 helaian kertas sebagaimana keinginan beliau terhadap karangan sirahnya iaitu Tarikh al-Umam wa al-Muluk. Namun atas alasan faktor masa dan umur yang tidak mengizinkan murid beliau untuk mengarangnya dalam jumlah tersebut maka beliau meringkaskannya sehinga 3000 helaian sahaja.
Al-Tabari telah menamakan tafsirnya Jamic al-Bayan can Tacwil Ay al-Qurcan. Menurut Dr. Muhammad al-Zuhayli nama atau tajuk tafsir tersebut adalah menunjukkan kepada isi kandungannya. Maka Jamic al-Bayan adalah menunjukka bahawa tafsir tersebut menghimpunkan pelbagai keterangan, kata-kata ulamak, pandangan mujtahidin, ijtihad sahabat dan tabiin serta menganalisa wajah-wajah yang khilaf dan mentarjihkan apa yang beliau rasakan lebih dekat dan kuat maksudnya. Menurut Dr. Abd al-Fattah al-Khalidi penggunaan kalimah Tacwil menunjukkan beliau menganggap darjat takwil lebih tinggi dari tafsir. Sehubungan itu takwil di sisi beliau ialah menerangkan makna-makna yang khilaf yang ditunjukkan oleh lafaz-lafaz al-Quran berbanding dengan tafsir yang hanya menerangkan kehendak sesuatu lafaz yang diambil daripada periwatan sahabat dan tabiin.
Ketinggian nilai Tafsir al-Tabari juga telah mendapat pengiktirafan ulama dari dahulu hingga sekarang. Perkara ini telah terakam dalam kitab-kitab Turath sirah dan al-Tarajum seperti Wafayat al-Acyan Wa Anbac Abnac al-Zaman, Lisan al-Mizan, Siyar Aclam al-Nubalac, Tarikh Baghdad dan lain-lain lagi. Sebagai contoh Ibn Taimiyyah telah meletakkan tafsir al-Tabari sebagai tafsir yang paling Sahih dan paling menepati al-Quran dan Sunnah berbanding dengan tafsir-tafsir yang lain seperti Tafsir al-Baghawi, al-Thaclabi, al-Wahidi dan al-Zamakhshari. Allahu a'lam
No comments:
Post a Comment